69 Penerima Dana MRP Berjumlah RM881,500

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


SERIAN: Seramai 69 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedup menerima dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM881,500.

Hadir menyampaikan dana-dana tersebut ialah Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Datuk Martin Ben dalam majlis yang berlangsung di Pusat Khidmat DUN Kedup pada Rabu.

Menurut beliau, hanya 26 penerima yang hadir ke majlis tersebut manakala selebihnya akan diagihkan kemudian dalam majlis di peringkat kampung di kawasan Kedup.

Penerima geran berbentuk cek yang hadir terdiri dari pengerusi persatuan dan kelab yang berpusat di Bahagian Serian termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) seluruh kawasan Kedup.

Pada awal ucapannya, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup mengucapkan tahniah kepada kesemua penerima dan berharap ianya dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh mereka.

Hadir sama wakil Residen Bahagian Serian Mariati Samat, wakil-wakil dari Pegawai Daerah Serian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Serian, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Majlis Daerah Serian serta badan-badan berkaitan yang lain. - EDISI UKAS