KUCHING: Isu dokumen pengenalan diri adalah satu daripada 14 isu sosial yang diberi fokus oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) melalui Majlis Pembangunan Sosial Sarawak (MPS).
Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, isu dokumen pengenalan diri dalam kalangan kanak-kanak di Sarawak merangkumi masalah tanpa sebarang dokumen pengenalan diri dan masalah tanpa kewarganegaraan berpunca daripada pelbagai sebab.
Menurut beliau, antaranya punca yang dikenalpasti adalah perkahwinan ibu bapa belum didaftarkan semasa anak dilahirkan kepada ibu bukan warganegara.
"Punca seterusnya ialah ibu bapa tidak mendaftar kelahiran anak yang dilahirkan, anak bukan warganegara yang ditinggalkan kepada seorang warganegara.
"Antara lain ialah anak yang dijumpai serta diabaikan dan ditempatkan di institusi kebajikan, pengangkatan anak tanpa kewarganegaraan atau kewarganegaraan belum ditentukan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Kesejahteraan Komuniti: Majlis Penyampaian Sijil Kewarganegaraan dan Dokumen Sementara Bagi Individu Tanpa Kewarganegaraan Di Sarawak (DSITKS) di sini pada Rabu.
Dalam kesempatan sama, beliau juga untuk merakamkan tahniah dan penghargaan kepada Adana Jed, mantan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) yang telah berpindah tempat bertugas dan dinaikkan pangkat sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan Inovasi Dan Pembangunan Bakat.
Beliau juga mengalu-alukan Semawi Mohamad sebagai Pengarah JKMNS yang baharu.
Dato Sri Fatimah menambah, kementeriannya komited untuk menangani isu dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan untuk membantu golongan terjebak di Sarawak melalui rangkaian kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Katanya, Jawatankuasa Khas di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan Peringkat Negeri Sarawak ditubuhkan untuk menyemak dan memperakukan permohonan yang diterima untuk kanak-kanak atau individu di bawah umur 21 tahun tanpa kewarganegaraan di Sarawak.
"Pada 21 Julai 2022, Kerajaan Sarawak telah bersetuju untuk mengeluarkan Dokumen Sementara Individu Tanpa Kewarganegaraan di Sarawak (DSITKS) agar individu/kanak-kanak tanpa kewarganegaraan mendapat akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan di Sarawak.
"Antara 1 November 2022 sehingga 13 Mei 2024, KDN telah menerima sebanyak 700 permohonan. Daripada jumlah ini, sebanyak 223 permohonan memenuhi syarat, manakala 477 permohonan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan," jelasnya lagi. -EDISI UKAS