Peruntukan MRP Kepada Sekolah dan NGO Di Lambir

Posted on 13 Oct 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Sebanyak RM280,000 telah disalurkan kepada sekolah-sekolah serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lambir melalui Majlis Penyerahan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang diadakan di Pusat Khidmat DUN Lambir, pada Isnin.

Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir, Datuk Dr. Ripin Lamat.

Dalam ucapannya, Datuk Dr. Ripin menjelaskan bahawa peruntukan tersebut bertujuan membantu pihak sekolah dan NGO melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan serta program pembangunan pelajar dan komuniti.

“Jumlah peruntukan yang kita salurkan hari ini adalah sebanyak RM280,000.

"Ini merupakan usaha berterusan untuk membantu sekolah dan NGO menjalankan aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.

"Bagi sekolah, pemberian dana ini dilakukan setiap tahun bagi memastikan pihak sekolah dan PIBG dapat bekerjasama menganjurkan aktiviti yang meningkatkan kecemerlangan pelajar serta mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan pihak sekolah,” jelas beliau.

Datuk Dr. Ripin turut menzahirkan harapan agar kerjasama erat antara pihak sekolah, PIBG dan komuniti setempat akan terus diperkukuh demi melahirkan modal insan berkualiti untuk pembangunan negeri dan negara pada masa hadapan.

Antara sekolah rendah yang menerima peruntukan tersebut ialah SK Tawakal Satap, SK Kampung Subak, SK Kampung Keluru Tengah, SK Ulu Satap, SK Kelapa Sawit No.1, SK Kelapa Sawit No.2, SK Lambir Village, SK Temenggong Datuk Muip, SK Bakam, SJK Chung Hua Bakam, SJK Tukau, SK Riam Batu 2 dan SK Kampung Beraya.

Manakala penerima kategori sekolah menengah pula termasuk SMK Luar Bandar Miri, SMK Taman Tunku, SMK Riam, SMK Agama Miri dan SM Sains Miri.

Turut hadir para guru besar, pengetua dan wakil NGO. - EDISI UKAS