Pemimpin Masyarakat Perlu Mainkan Peranan Penting

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Pemimpin masyarakat perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan dan mengatur pelbagai urusan di kawasan di bawah bidang kuasa masing-masing.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (Pelancongan) Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, pemimpin masyarakat juga menjadi jambatan antara kerajaan dan sektor swasta.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa bersama ketua-ketua masyarakat di Miri pada Selasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau merangkap Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Miri (Piasau) itu turut mengucapkan terima kasih kepada ketua masyarakat yang hadir dan berkumpul untuk meraikan Iftar.

Katanya, beliau telah menerima beberapa jemputan daripada ketua masyarakat untuk menghadiri rumah terbuka pada hari raya setiap tahun dan akan cuba sedaya upaya untuk mengatur jadual menyertai serta meraikan perayaan bersama mereka.

Turut hadir Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang, Timbalan Datuk Bandar Miri Kaunselor Ariffin Mohammad dan Ketua Masyarakat Melayu Temenggong Datuk Abdul Rahman Abang Fadzail. -EDISI UKAS