SEBUYAU: Nelayan dari Kampung Sungai Ladong, Bolhi Ali muncul juara keseluruhan bagi Program Jom Memancing sempena Regatta Sebuyau 2025 yang berlangsung meriah di Tebingan Muara Sebuyau pada Ahad.
Beliau dinobatkan sebagai johan selepas berjaya mendaratkan ikan seberat 1.465 kilogram, sekali gus mengetepikan saingan 192 peserta lain yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan tersebut.
Kemenangan itu membolehkan beliau membawa pulang hadiah utama berupa wang tunai RM8,000, piala dan sijil penyertaan.
Tempat kedua dimenangi oleh Azahar Idi dengan tangkapan udang seberat 408 gram, menerima RM3,000, piala dan sijil, manakala Abang Julaihi Abang Sidek di tempat ketiga dengan tangkapan seberat 360 gram, membawa pulang RM1,000, piala dan sijil.
Peserta yang menduduki tempat keempat hingga ke-40 turut menerima hadiah saguhati berupa wang tunai, piala dan sijil sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.
Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi.
Program seperti ini bukan sahaja memupuk minat terhadap aktiviti memancing, tetapi juga mengeratkan hubungan komuniti dan mempromosi tebingan Muara Sebuyau sebagai lokasi riadah yang menarik.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sebuyau merangkap Pengerusi Induk Jawatankuasa Regatta Sebuyau Ayuradiman Bujang, Pengerusi Pengelola Pertandingan Memancing Melor Buyong, Pemanca Masyarakat Melayu Daerah Sebuyau Asli Yahya dan Pemanca Masyarakat Iban Daerah Sebuyau Merum Babu.-EDISI UKAS