Laluan 'Redline' Di Lebuh Raya Pan Borneo Akan Dibaik Pulih

Disiarkan pada 11 Jun 2024
Sumber Berita: UKAS







KUCHING: Semua laluan 'redline' yang dikenal pasti di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo akan dibaik pulih.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja penyelenggaraan laluan 'redline' ini perlu dilakukan mengikut piawaian Lebuh Raya Pan Borneo.

“Kita telah membincangkan perkara yang berkaitan dengan Lebuh Raya Pan Borneo. Di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo ada beberapa pakej ataupun tempat yang dikatakan laluan 'redline'.

"Laluan 'redline' ini perlu dibaiki kerana ia sudah uzur dan rosak jadi kita berbincang dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk mengetahui daripada mereka yang mana keutamaan menjadi kerajaan negeri termasuk persimpangan jejambat yang dicadangkan di Batu 8 yang setiap hari mengalami kesesakan di situ," jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui media selepas mengetuai rombongan Kementerian Kerja Raya (KKR) mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Selasa.

Istilah 'redline' ini membawa maksud laluan asal sedia ada sebelum pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo dan ia melibatkan kawasan Kuching, Serian, Sibu, Bintulu, Julau dan Miri.

Jajaran ini sepanjang 136.7 kilometer dan tidak terlibat dalam pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan kini berada dalam keadaan yang daif, kerana sewaktu dibina dahulu, ia tidak menyamai standard ditetapkan di bawah pembinaan baharu lebuh raya itu.

Malah baru-baru ini, Dato Sri Alexander dipetik sebagai berkata, KKR akan memohon peruntukan kira-kira RM1 bilion bagi menyelenggara laluan 'redline' membabitkan projek Lebuhraya Pan Borneo. 

Naik taraf dan pemulihan segera jajaran 'redline' ini dijangka mengoptimumkan daya sumber Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak namun ia perlu bagi menjamin kelancaran, keselesaan dan keselamatan kepada pengguna jalan lebuh raya di negeri ini. -EDISI UKAS