Belanjawan 2026: Peruntukan RM6 Bilion Cerminan Keakraban Kerajaan Madani & Kerajaan Sarawak

Posted on 11 Oct 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Pengumuman peruntukan RM6 bilion kepada Sarawak dalam Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim disifatkan sebagai bukti kukuh hubungan erat dan saling percaya antara Kerajaan Madani Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri serta Kerajaan Madani atas komitmen dan keprihatinan yang ditunjukkan terhadap pembangunan wilayah ini.

Menurut beliau, peruntukan tersebut merupakan bajet terbesar yang pernah diterima Sarawak, sekali gus mencerminkan hubungan dua hala yang semakin akrab serta kesediaan kedua-dua kerajaan untuk terus bekerjasama demi kesejahteraan rakyat.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Madani Pusat yang telah memberikan peruntukan sebanyak RM6 bilion dalam belanjawan akan datang.

“Sudah tentu ini dapat merapatkan lagi hubungan antara Kerajaan Madani Persekutuan dan Kerajaan Sarawak,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Rasmi Ke-79 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Padang Merdeka di sini, pada Sabtu.

Hadir sama memeriahkan istiadat penuh adat dan istiadat negeri itu ialah Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, dan Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Bertanggungjawab Sambutan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, serta barisan Menteri Kabinet Sarawak dan Persekutuan, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak dan Persekutuan dan tetamu kenamaan lain.

Datuk Patinggi Abang Zohari menambah, penyaluran dana besar itu bukan sekadar simbolik keakraban politik antara kerajaan pusat dan Sarawak, tetapi juga langkah strategik untuk memperkukuh agenda pembangunan ekonomi negara, khususnya dalam mempercepat transformasi infrastruktur, sosial dan ekonomi rakyat wilayah ini.

“Ia akan memberi manfaat besar kepada rakyat, memperkukuh ekonomi negeri dan memastikan pembangunan seimbang di seluruh wilayah,” tambah beliau. -EDISI UKAS

Disediakan: Jonnie Kiew
Foto: Muhammad Rais Sanus, Jaed Tepus, Shahril Haqim