Isu Vandalisme Perlu Ditangani

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Isu vandalisme yang berlaku adalah serius dan menjadi ancaman sosial sekaligus perlu ditangani.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Dr. Ripin Lamat berkata, vandalisme  boleh menjadi ancaman utama terhadap struktur sosial dan kesejahteraan masyarakat setempat.

"Isu vandalisme di kawasan projek-projek yang telah siap, telah dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

"Contohnya di Intergrated Community Center, Bakam Point, Tamu Berayak dan Trusan telah menyebabkan banyak kerugian dan pusat tersebut sampai kini tidak dapat digunakan," ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Pemimpin Komuniti Lambir di Hotel Marriott, Miri pada Selasa.

Tambah Datuk Dr. Ripin, beliau berharap agar Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau orang parti sama-sama memantau keadaan projek-projek yang dibina atau telah disiapkan supaya tidak dirosakkan.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak merangkap Timbalan Ketua PBB Cawangan Lambir Harjis Japar Labaw, Ketua Pemuda PBB Cawangan Lambir Kaunselor Asri Salim, Ketua Wanita PBB Cawangan Lambir Zainani Salleh, dan Barisan Jawatankuasa PBB Cawangan Lambir. -EDISI UKAS