Sarawak Sedia Laksana Transformasi Sektor Awam & GLC

Posted on 08 Oct 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia melaksanakan transformasi menyeluruh dalam peranan sektor awam dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri yang lebih berdaya saing serta mampan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, perubahan ini menuntut perkhidmatan awam untuk tidak lagi berfungsi hanya sebagai pentadbir dasar.

Namun jelasnya, perkhidmatan awam perlu menjadi rakan kongsi strategik kepada sektor swasta dengan menggalakkan inovasi, produktiviti dan kecekapan komersial.

“Kerajaan menyediakan modal dan hala tuju, tetapi agensi kerajaan dan GLC mesti beroperasi seperti entiti komersial, menggunakan teknologi terkini untuk meningkatkan produktiviti dan memberikan pulangan kepada negeri,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena Sarawak Corporate Leadership Summit (SCLS) 2025 di sini pada Rabu.

Premier Sarawak menambah, pendekatan baharu ini akan meletakkan perkhidmatan awam sebagai pemangkin pembangunan ekonomi, sementara GLC bertindak sebagai pelaksana yang memacu pertumbuhan, mewujudkan peluang pekerjaan dan menggalakkan inovasi.

“Kita perlu menyesuaikan pengurusan fiskal supaya seimbang. Jika terlalu banyak dibelanjakan untuk membiayai hutang, sektor produktif akan terabai. Kita mahu memastikan Sarawak berada di landasan kukuh untuk membangunkan ekonomi yang mampan,” tegasnya lagi.

SCLS 2025 bertemakan “Future Ready Governance: Catalysing Collaborative Leadership for Sarawak’s Next Leap” menghimpunkan 115 pemimpin badan berkanun dan GLC untuk membincangkan strategi memperkukuh kepimpinan, tadbir urus dan kerjasama strategik bagi memacu lonjakan pembangunan Sarawak.

Sementara itu, Datuk Patinggi Abang Zohari turut menjadikan Singapura sebagai model yang berjaya menggabungkan kecekapan komersial dengan penglibatan kerajaan melalui syarikat milik negara yang berdaya saing dan mampu memberi pulangan kepada rakyat.

Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi sebagai faktor penentu daya saing negeri.

“Kita sudah mempunyai kedudukan fiskal yang kukuh, tetapi untuk memacu transformasi ekonomi, kita memerlukan tenaga kerja yang memiliki kemahiran masa depan,” ujarnya.

Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Industri Makanan Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Setiausaha Kewangan Sarawak, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE, Joseph Lim
Pengerusi ICDM, Tan Sri Zarinah Anwar, ketua-ketua jabatan serta peserta persidangan tersebut.-EDISI UKAS