Projek Jalan Muput/Ulu Penyarai Di Tatau Beri Manfaat Kepada Penduduk Lebih 25 Buah Rumah Panjang

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS




TATAU: Projek Jalan Muput / Ulu Penyarai sepanjang 58 kilometer (km) bakal memberi manfaat kepada lebih 25 buah rumah panjang di sekitar Muput dan Ulu Penyarai termasuk Sekolah Kebangsaan Kuala Muput, Sekolah Kebangsaan Nanga Penyarai serta Klinik Kesihatan Kakus, Penyarai Tatau.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai berkata, jika projek ini diluluskan oleh kerajaan, ianya pasti akan memudahkan perhubungan di kawasan tersebut. 

"Bersama-sama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Saliran dan Pengairan Sarawak (DID), Jabatan Tanah dan Survei, Pejabat Residen serta Pejabat Daerah Tatau, Sebauh dan Bintulu turut turun padang bagi menentukan ‘alignment’ jalan yang akan dipohon kepada BDA melalui satu jawatankuasa yang telah ditubuhkan dalam BDA iaitu Bintulu Rural Development Committee (BIRDCOM). 

"Projek menaik taraf jalan dari Muput ke Ulu Penyarai ini amat penting untuk kemudahan penduduk di sini. Kertas kerja akan kita hantar ke pihak BDA untuk tindakan yang seterusnya," ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Lawatan Bagi Menentukan Alignment Jalan Untuk Projek Upgrading Muput, bertempat di Rumah Micheal Kuang, Ulu Penyarai, Tatau pada Selasa.

Hadir sama Residen Bahagian Bintulu Nyurak Keti, Pegawai Daerah Tatau Jabang Juntan, Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi dan Pemangku Pegawai Daerah Bintulu Suzanna Indiat.

Setelah selesai di Rumah Micheal Kuang, Dato Sri John Sikie turut mengadakan lawatan dan menyaksikan penyerahan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) iaitu projek menaik taraf jalan rumah panjang Rumah Dilang, Sungai Setengin, Anap, Tatau.

Turut hadir menyaksikan penyerahan Projek Siap adalah Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Tatau Winnie Dian dan Penolong Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Bintulu Ngu Tie Hua. -EDISI UKAS