KUCHING: Pelaksanaan undang-undang baharu alam sekitar serta sistem Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) adalah bukti komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pelaksanaan perdagangan karbon dan memastikan pembangunan Sarawak bergerak seiring dengan agenda kelestarian global.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak kini mempunyai rangka perundangan tersendiri berkaitan alam sekitar, penyimpanan karbon dan CCUS yang menjadi asas penting kepada pelaksanaan perdagangan karbon di negeri ini.
“Kita sudah ada undang-undang alam sekitar yang telah dinaik taraf dan undang-undang berkaitan CCUS juga telah dilaksanakan.
"Ini antara asas utama kepada pelaksanaan perdagangan karbon,” katanya kepada pemberita selepas majlis Road to Belem: Accelerating Climate Action in Sarawak di sini, pada Selasa.
Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan terdapat dua bentuk perdagangan karbon iaitu perdagangan secara sukarela (voluntary trading) antara dua pihak dan perdagangan yang mematuhi peraturan antarabangsa (compliance trading) seperti yang termaktub di bawah Article 6 dalam perundangan antarabangsa.
“Dalam hal ini, kita bekerjasama dengan Bank Dunia untuk mendapatkan formula yang tepat, terutamanya bagi perdagangan sukarela,” jelasnya.
Beliau menambah, meskipun Sarawak mempunyai autonomi dalam urusan tanah dan hutan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, negeri ini tetap tertakluk kepada peraturan antarabangsa bagi tujuan pendaftaran perdagangan karbon.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian, Duta Besar Brazil ke Malaysia dan Brunei, Daniella Ortega de Menezes serta Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datu Abg Ahmad Abg Morni.-EDISI UKAS