Sarawak Percepat Pelaksanaan Strategi Net Zero, Bukti Komitmen Pembangunan Hijau

Posted on 07 Oct 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Kerajaan Sarawak mempercepat pelaksanaan Sarawak Net Zero Strategy and Carbon Plan sebagai bukti komitmen negeri ini untuk mencapai pembangunan hijau dan lestari.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr. Hazland Abang Hipni berkata, pelan itu menjadi panduan utama bagi menyokong peralihan Sarawak ke arah pembangunan rendah karbon melalui tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, bioenergi dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi.

“Premier kita telah menggariskan visi yang jelas melalui Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, iaitu untuk membina masyarakat makmur, inklusif dan lestari berpaksikan pertumbuhan hijau dan inovasi.

“Melalui Sarawak Net Zero Strategy and Carbon Plan, kita bukan hanya merancang di atas kertas tetapi melaksanakan komitmen sebenar yang berkembang seiring dengan kemajuan, inovasi dan kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Road to Belem: Accelerating Climate Action in Sarawak di sini, pada Selasa.

Terdahulu, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg hadir untuk merasmikan program berkenaan.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) Dato Henry Harry Jinep, Duta Besar Brazil ke Malaysia, Daniella Ortega serta tetamu kehormat lain.

Sehubungan itu Datuk Dr. Hazland menambah, kejayaan Sarawak dalam menangani perubahan iklim bergantung kepada kerjasama pelbagai pihak termasuk industri, institusi penyelidikan, komuniti, belia dan individu.

“Kerajaan sahaja tidak mampu mencapai sasaran Net Zero tanpa penglibatan aktif semua pihak.

“Melalui usaha bersama kita dapat membangunkan teknologi inovatif mengadaptasi model perniagaan mampan serta mewujudkan peluang pekerjaan hijau untuk manfaat rakyat dan alam sekitar,” ujarnya.

Majlis berkenaan turut menampilkan sesi perkongsian dan jaringan antara agensi kerajaan, sektor industri dan komuniti bagi memperkukuh tindakan bersama terhadap perubahan iklim di Sarawak.-EDISI UKAS