KUCHING: Kerajaan Sarawak bersedia melaksanakan perdagangan karbon namun masih menunggu penetapan struktur kewangan global bagi urus niaga tersebut.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, walaupun dunia masih mencari model kewangan yang sesuai untuk menentukan harga karbon, namun kerajaan Sarawak telah mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan rangka perundangan sendiri serta bekerjasama dengan Bank Dunia bagi memastikan pelaksanaan dapat dijalankan secara teratur dan telus.
“Buat masa ini, belum ada struktur kewangan yang jelas dalam perdagangan karbon. Dunia masih mencari bentuknya, berapa harga yang wajar? Tetapi kita di Sarawak sudah bersedia dengan model tersendiri,” katanya ketika menyampaikan ucaptama semasa majlis Road to Belem: Accelerating Climate Action in Sarawak di sini pada Selasa.
Datuk Patinggi Abang Zohari menjelaskan, kerjasama dengan Bank Dunia bertujuan mendapatkan data tepat berkaitan nilai, jumlah dan harga penyimpanan karbon.
“Kita perlu tahu berapa yang harus dicaj keranan kita banyak berkorban, contohnya kita tidak lagi menebang hutan, bermaksud tiada hasil daripada kayu balak, tetapi kita menjana pendapatan melalui penyimpanan karbon,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Sarawak mempunyai kelebihan autonomi dalam hal berkaitan tanah dan hutan di bawah Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan negeri ini menggubal undang-undang sendiri berkaitan karbon dan alam sekitar.
Dalam majlis sama, Premier Sarawak turut menyaksikan penyerahan buku ‘Balancing Innovation and Coordination: Institutional Solutions for Effective Climate Action in Malaysia’s Borneo States’ oleh wakil Bank Dunia dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian, Duta Besar Brazil ke Malaysia dan Brunei, Daniella Ortega de Menezes serta Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datu Abg Ahmad Abg Morni.-EDISI UKAS