Sarawak Perkukuh Modal Insan Hadapi Era Digital 2030

Disiarkan pada 07 Oct 2025
Sumber Berita: UKAS


SIBU: Kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan modal insan sebagai tonggak menghadapi perubahan pesat era digital dan kecerdasan buatan (AI), sejajar dengan aspirasi Sarawak Maju 2030.

Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Adana Jed berkata, usaha ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS 2030) yang menekankan peranan data dan inovasi dalam memacu kemajuan negeri.

“Aspirasi pimpinan negeri adalah jelas dalam PCDS 2030. Tugas kita ialah memahami dan menghayatinya supaya kita semua menjadi sebahagian daripada proses memajukan negeri Sarawak,” katanya dalam Majlis Perasmian Program Sistem Pesanan Kerjaya (SPEAK) Roadshow Phase 2 di sini, pada Selasa.

Beliau turut menekankan bahawa pencapaian status negeri maju memerlukan sumbangan seluruh pihak termasuk kerajaan, sekolah, industri dan komuniti.

“Salah satu kriteria negeri maju ialah memiliki sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga kerja berkemahiran.

"Program SPEAK adalah antara langkah kecil untuk merealisasikan aspirasi tersebut,” jelasnya.

Dalam majlis yang sama, beliau menyeru semua guru untuk mendaftar dan menggunakan platform berkenaan kerana kadar pendaftaran masih rendah bagi kawasan Sri Aman, Sibu dan Kapit, apabila hanya 12 daripada 47 sekolah (24 peratus) telah mendaftar.

Selain itu, beliau turut menambah, tenaga kerja berkemahiran dalam sektor berimpak tinggi seperti ekonomi hijau, tenaga boleh baharu, teknologi digital dan AI meningkat.

Ujarnya, pada Februari 2024, Sarawak telah menubuhkan Sarawak Artificial Intelligence Centre sebagai langkah memperkukuh bakat tempatan dalam bidang teknologi.

Beliau menegaskan aspirasi Premier Sarawak adalah memastikan tiada rakyat negeri ini tertinggal daripada arus pembangunan dari segi ekonomi, alam sekitar atau kemajuan sosial.

“MEITD Sarawak akan terus menjadi ‘champion’ membangunkan bakat tempatan demi mencapai visi Sarawak Maju 2030,” tambahnya.- EDISI UKAS