KUCHING: Persidangan Kebangsaan Mengenai Integriti dan Tadbir Urus (NCIG) 2025 yang dianjurkan oleh Kerajaan Sarawak dengan kerjasama Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Premier Sarawak disifatkan bukan sekadar platform akademik, tetapi medan penting untuk memperkukuh budaya tadbir urus berintegriti dalam perkhidmatan awam.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr. Juanda Jaya, berkata persidangan ini menjadi wadah bagi peserta bertukar pandangan, berkongsi pengalaman dan mempelajari amalan terbaik daripada pelbagai organisasi bagi memperkukuh sistem pencegahan rasuah serta mempertingkatkan standard integriti dalam dunia pekerjaan.
“Persidangan ini bukan sekadar ruang pembentangan kertas kerja, tetapi juga peluang untuk membina jaringan strategik merentasi sektor dan disiplin.
"Ia penting bagi memastikan nilai integriti benar-benar menjadi budaya dalam setiap organisasi,” katanya dalam majlis berkenaan di sini pada Selasa.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hadir menyempurnakan majlis berkenaan mewakili Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Beliau menjelaskan tiga objektif utama penganjuran konferensi tersebut iaitu, memperkasa peserta melalui perkongsian amalan terbaik dalam tadbir urus dan usaha pencegahan rasuah, meningkatkan kapasiti peserta untuk mengawal serta mengurangkan risiko rasuah khususnya dalam sektor awam dan menyokong usaha kerajaan Sarawak dalam memperkukuh imej negeri melalui pembudayaan integriti.-EDISI UKAS