Empangan Melata Berpotensi Kawal Populasi Buaya Di Sarawak

Posted on 06 Oct 2025
Source of News: UKAS


LUBOK ANTU: Usaha Kerajaan Sarawak membangunkan empangan melata bukan sahaja menyumbang kepada penjanaan tenaga hijau, tetapi juga berpotensi membawa manfaat ekologi sekali gus mengawal populasi buaya cecara semula jadi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, menjelaskan riak air yang terhasil daripada empangan berkenaan boleh mengganggu aktiviti buaya, termasuk proses pembiakan mereka.

“Ia berasaskan alam semula jadi kerana apabila permukaan air terganggu oleh riak, kemungkinan buaya tidak dapat membiak,” katanya pada sidang media selepas Majlis Ulang Tahun Ke-40 Loji Hidroelektrik Batang Ai, di sini pada Isnin.

Beliau turut menjelaskan bahawa kebergantungan terhadap perhubungan air yang semakin berkurang antara faktor yang menyebabkan populasi buaya meningkat.

“Pada pendapat saya, sekiranya permukaan air sungai sentiasa ‘dikacau’, buaya tidak dapat membiak dan akan lari, di mana kini bot sudah berkurangan seperti yang berlaku di Batang Rajang ke Batang Baleh kerana sudah ada jalan raya.

“Sekarang ini, apa yang berlaku ialah buaya sudah mulai kelihatan di sepanjang sungai berkenaan,” kata beliau lagi. -EDISI UKAS