SIMUNJAN: Pesta Simunjan 2025 menjadi simbolik kepada usaha memperkukuh jalinan komuniti dan mempromosikan identiti budaya daerah apabila melabuhkan tirainya dengan penuh meriah di Pentas Rakyat, Padang Sentral Simunjan, malam Ahad.
Majlis diserikan dengan kehadiran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris bersama isteri, Napsiah Abang Kaderi yang hadir bagi menunjukkan sokongan terhadap penganjuran pesta rakyat yang menjadi kebanggaan daerah Simunjan.
Malam penutupan dimeriahkan dengan persembahan Pentarama Jabatan Penerangan Sarawak yang membuka tirai hiburan dengan mesej bermaklumat dan santai, diikuti persembahan bertenaga daripada artis terkenal tanah air, Ramles Walter dan Joey BPR.
Acara kemuncak malam diserikan dengan persembahan istimewa daripada Amir UKAYS yang menutup tirai pesta dengan lagu-lagu popular era 90-an, mencetuskan suasana penuh nostalgia dan kegembiraan dalam kalangan pengunjung.
Acara penutupan yang dihadiri lebih 3,000 pengunjung itu menandakan berakhirnya pesta selama 10 hari yang menjadi platform mempertemukan masyarakat pelbagai kaum dalam suasana penuh harmoni dan perpaduan.
Turut hadir dalam majlis berkenaan, Pegawai Daerah Simunjan merangkap Pengerusi Pengelola Pesta Simunjan 2025, Sanuyah Mohamad, Ketua Cawangan Pentarama Jabatan Penerangan Sarawak, Ismalia Hasimi, Pemangku Setiausaha Majlis Daerah Simunjan, Sabli Razak, Pemanca Masyarakat Cina Daerah Simunjan, Liew Wee Tchiun dan Penghulu Ahmad Dol Simpol.
Dengan sambutan menggalakkan serta penglibatan pelbagai lapisan masyarakat, Pesta Simunjan 2025 bukan sahaja menjadi wadah hiburan, malah terus berperanan sebagai medium memperkukuh perpaduan komuniti dan menonjolkan keunikan budaya tempatan yang menjadi identiti daerah ini.-EDISI UKAS