Kumpulan Rock PS5 Dinobat Juara Redeems Battle of The Band 2025

Posted on 05 Oct 2025
Source of News: UKAS


BAU: Kumpulan rock dari Samarahan, PS5, muncul juara dalam pertandingan Redeems Battle of The Band 2025 yang berlangsung di Kampung Budaya Bidayuh, Pusat Redeems, Bau pada Sabtu.

Kumpulan tersebut berjaya mengetepikan cabaran kumpulan lain pada pusingan akhir sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, piala dan sijil penyertaan.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep.

Naib juara pula disandang kumpulan NNC dari Serian yang menerima RM2,000, piala dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga dimenangi kumpulan Renewar dari Sabah dengan hadiah RM1,000, piala dan sijil penyertaan.

Lebih manis, PS5 turut mengungguli tiga kategori khas iaitu Vokalis Terbaik, Pemain Gitar Terbaik dan Pemain Bass Terbaik dengan masing-masing menerima wang tunai RM200.

Kumpulan NNC pula memenangi dua kategori iaitu Keyboard Terbaik dan Pemain Drum Terbaik, turut menerima hadiah wang tunai RM200 setiap masing-masing.

Pertandingan dianjurkan oleh Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (Redeems) di Kampung Budaya Bidayuh, Redeems, Bau pada 3 Oktober bagi sesi saringan dan pusingan akhir pada 4 Oktober. -EDISI UKAS