Program Jualan Rahmah Bergerak Ringankan Beban Penduduk Miri

Posted on 05 Oct 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Program Jualan Rahmah Bergerak (PJRB) terus mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan penduduk Miri, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup khususnya golongan B40 dan M40.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata inisiatif berterusan itu membolehkan lebih ramai penduduk menikmati harga barangan keperluan asas pada kadar rendah, selaras dengan usaha kerajaan membantu rakyat menghadapi peningkatan kos sara hidup.

Menurut beliau, penganjuran jualan rahmah bergerak di kawasan Senadin sebelum ini turut menerima sambutan yang amat baik daripada penduduk setempat.

“Setiap kali diadakan, jualan ini memang mendapat sambutan baik daripada penduduk. Mereka boleh mendapatkan pelbagai barangan asas seperti beras, gula, minyak masak, makanan, Milo, mi, telur, ayam dan daging dengan potongan harga sehingga 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke Program Jualan Rahmah Bergerak (PJRB) yang diadakan di Dewan Sekolah SMK Merbau, Miri pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dato Sri Lee berkata pemilihan SMK Merbau sebagai lokasi kali ini amat bertepatan memandangkan sekolah tersebut mempunyai hampir 3,000 pelajar yang mewakili kira-kira 1,500 keluarga di kawasan berdekatan kumpulan sasaran utama program ini.

Tambahnya, sambutan daripada orang ramai amat menggalakkan apabila penduduk sudah mula hadir seawal 7 pagi untuk mendapatkan barangan keperluan masing-masing.

“Tempat ini sangat sesuai kerana mempunyai dewan besar yang membolehkan kita mengatur tiga kaunter jualan serentak dengan keadaan yang teratur dan selesa,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Program Jualan Rahmah Bergerak seterusnya akan diadakan di kawasan SM Riam, bagi memastikan lebih ramai penduduk sekitar Miri dapat menikmati manfaat jualan berharga rendah tersebut.-EDISI UKAS