SIBU: Kejohanan Bola Tampar Program Sukan Pembangunan Sekolah Menengah Kategori Umur 15 Tahun ke Bawah (15 TKB) Bahagian Sibu 2025 melabuhkan tirainya dengan pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tung Hua dan SMK Methodist muncul juara bagi kategori masing-masing.
Bagi Kategori Perempuan 15 TKB, juara menjadi milik SMK Tung Hua, manakala SM Tinggi Katolik dan SMK Methodist akur di kedudukan kedua dan ketiga sementara SMK Lanang di tempat keempat.
Bagi Kategori Lelaki 15 TKB pula, SMK Methodist muncul selaku sebagai juara, SMK Tung Hua akur di kedudukan naib johan dan SMK Kwong Hua dan SMK Sibujaya menduduki tempat ketiga dan keempat.
Ahli Majlis Daerah Luar Bandar Sibu Kaunselor Kevin Lau Kor Jie, berkata semangat juang dan komitmen yang tinggi telah membawa pasukan terbaik untuk mencapai kejayaan.
“Sama ada menang atau kalah, setiap perlawanan memberi pengalaman berharga buat semua peserta,” katanya semasa berucap dalam majlis penutupan, pada Jumaat.
Tambah beliau lagi, kejohanan seperti ini mampu mencungkil bakat baharu dalam sukan bola tampar yang berpotensi diketengahkan hingga ke peringkat lebih tinggi.
“ kejohanan seperti ini bukan sahaja mencungkil bakat muda, malah membantu melahirkan generasi pelajar yang sihat, berdisiplin dan berdaya saing,” katanya lagi.
Hadir sama, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sibu (Sektor Pembangunan Murid), Kong Chiong Hui dan Pengetua SMK Kwong Hua Wong Ling Jiong. -EDISI UKAS