KUCHING: Keunggulan pasukan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) tidak dapat dinafikan lagi apabila mereka menjuarai kedua-dua kategori lelaki dan wanita dalam pertandingan futsal sempena Karnival One Team SCS Jabatan Premier Sarawak yang berlangsung pada Sabtu.
Bagi kategori lelaki, aksi final mempertemukan UKPS dengan pasukan Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak.
Pertahanan kedua-dua pasukan cukup ampuh pada separuh masa pertama tanpa sebarang jaringan, namun UKPS bangkit garang pada babak kedua dengan serangan bertali arus untuk memastikan kemenangan 2-0.
Kemenangan tersebut menobatkan UKPS sebagai juara futsal lelaki, manakala Pejabat Setiausaha Kerajaan Sarawak terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
Unit Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia (UPPSM) serta Unit Audit Dalam (UAD) pula berkongsi tempat ketiga.
Turut hadir menyaksikan perlawanan akhir ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Pentadbiran), Datu Buckland Bangik, yang mewakili Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, sekaligus menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Sementara itu, kategori wanita turut menyaksikan kehebatan UKPS apabila menewaskan pasukan Pejabat Setiausaha Kewangan Sarawak (SFS) dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan hingga tamat masa sebenar.
UKPS memastikan kemenangan berganda selepas menamatkan saingan dengan keputusan 2-1 menerusi sepakan penalti, sekali gus dinobatkan sebagai juara futsal wanita.
Unit Digitalisasi Perkhidmatan Sarawak (SCSDU) dan UPPSM pula berkongsi kedudukan ketiga bagi kategori berkenaan. -EDISI UKAS