KUCHING: Bengkel STEM Changemakers anjuran Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak menjadi platform penting dalam memperkasa pemimpin muda Pandu Puteri dengan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak, Datin Dayang Morliah Awang Daud, berkata bengkel tersebut merupakan inisiatif baharu yang dirangka bagi menggalakkan penyertaan remaja wanita dalam bidang STEM melalui pendekatan pembelajaran interaktif berasaskan komuniti.
“Program ini bukan sekadar memberi ilmu, tetapi membentuk keyakinan diri serta mengasah potensi kepimpinan dalam kalangan remaja perempuan agar mereka berani mencipta perubahan positif dalam komuniti,” katanya semasa berucap dalam bengkel yang disertai oleh seramai 60 pemimpin Pandu Puteri dari seluruh Sarawak yang diadakan di sini, pada Sabtu.
Menurut beliau, bengkel tersebut memberi fokus kepada pembelajaran berkolaborasi serta projek berasaskan cabaran sebenar yang disertai bimbingan daripada tenaga pakar.
Datin Dayang Morliah menambah, objektif utama bengkel itu adalah untuk meruntuhkan halangan penyertaan wanita dalam bidang STEM serta melahirkan generasi gadis yang berfikiran kritikal, kreatif dan berani memimpin perubahan ke arah kemajuan masyarakat.
Beliau turut berharap penganjuran bengkel ini menjadi pencetus kepada peningkatan minat serta penyertaan wanita dalam bidang STEM di Sarawak, seterusnya melahirkan pelajar, usahawan wanita dan penyumbang komuniti yang berinovasi serta berdaya saing di peringkat nasional dan antarabangsa.-EDISI UKAS