Pesta Tanglung dan Ulang Tahun JKKK Kampung Tamba Cina Disambut Meriah

Posted on 04 Oct 2025
Source of News: UKAS


SERIAN: Pesta Tanglung 2025 dan Ulang Tahun Ke-8 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tamba Cina berlangsung meriah di Leort Cottage, Kampung Pichin pada Jumaat dengan kehadiran lebih 300 penduduk setempat.

Ahli Parlimen Serian, Dato Sri Richard Riot Jaem juga hadir ke majlis berkenaan yang diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan, jamuan bersama komuniti serta penyampaian cenderahati kepada pihak yang terlibat.

Semasa berucap, Dato Sri Richard Riot menzahirkan penghargaan kepada JKKK Kampung Tamba Cina atas peranan aktif mereka merancang dan melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan komuniti.

Kejayaan ini, menurut beliau, adalah hasil kerjasama padu antara kepimpinan kampung dan masyarakat setempat.

Beliau turut memuji kejayaan JKKK yang melaksanakan penyukatan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dengan kerjasama Jabatan Tanah dan Survei Serian, yang disifatkan penting bagi memastikan pengiktirafan hak milik tanah secara sah kepada pemilik yang berkenaan.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Pegawai Daerah Serian Henry Inting, Ketua Polis Daerah Serian DSP Freddy Sanilaus Bian, Penghulu Peter Kiang, Datuk Mejar Peter Runin, KK Rioi Lagi, Kapitan Chong, Kapitan Kampung Tamba Cina Kaunselor Chai dan Kaunselor Limko Alas.-EDISI UKAS