44 Penerima Peruntukan Khas Fasa 1 Kawasan Parlimen Mukah 2024

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS


MUKAH: Seramai 44 wakil menerima Peruntukan Khas Fasa 1 Tahun 2024 yang telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Ekonomi Malaysia merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato' Hanifah Hajar Taib pada Isnin.
 
Wakil yang hadir terdiri daripada Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG), Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan rumah panjang, kelab sukan dan rekreasi serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
 
Geran berjumlah RM500,000 disalurkan melalui Peruntukan Khas merupakan inisiatif Kerajaan untuk melaksanakan pembangunan, baikpulih dan menaiktaraf infrastruktur dan program kebajikan masyarakat.
 
Dato Hanifah berharap agar semua geran yang diterima digunakan sebaik mungkin untuk manfaat bersama dan meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat.
 
Sementara itu, Dato Hanifah berkesempatan menyempurnakan Program Agihan Bubur Lambuk dan Bubur Pedas di Daerah Dalat pada Ahad.
 
Sebanyak 1100 bubur lambuk dan bubur pedas telah diagihkan di dua lokasi berbeza di daerah tersebut iaitu Oya Square dan tempat letak kenderaan berdekatan Bazar Ramadan Dalat kepada masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan bangsa.
 
Wakil kepada Ketua Masyarakat, Ketua Kaum dan Pejabat Daerah Dalat juga turut hadir semasa penyerahan bubur pedas di kedua-dua tempat.
 
Timbalan Menteri berharap aktiviti seperti ini akan sentiasa diteruskan dan dijalankan pada masa akan datang bagi mengeratkan silaturahim antara masyarakat dan wakil rakyat. - EDISI UKAS