4,119 Pelajar Baharu UNIMAS Lafaz Ikrar, Rasmi Mulakan Pengajian Akademik

Posted on 02 Oct 2025
Source of News: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Seramai 4,119 pelajar baharu Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sesi akademik 2025/2026 secara rasmi memulakan pengajian selepas Majlis Ikrar Pelajar di Arena Gemilang, Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), hari ini.

Majlis penuh tradisi itu menandakan penerimaan rasmi penuntut ke dalam komuniti UNIMAS, sekali gus menjadi penzahiran komitmen mereka terhadap kecemerlangan akademik, integriti serta pematuhan kepada peraturan universiti.

Naib Canselor UNIMAS, Profesor Dr Ahmad Hata Rasit dalam ucapan perasmiannya mengucapkan tahniah kepada semua pelajar baharu kerana berjaya melanjutkan pengajian di universiti penyelidikan terkemuka di Borneo itu.

“Kejayaan anda memasuki universiti adalah fasa baharu dalam pembentukan peribadi dan kerjaya.

"Kami berharap anda memanfaatkan peluang di UNIMAS bukan sahaja untuk menimba ilmu, tetapi juga mengembangkan kemahiran insaniah dan kepimpinan,” katanya.

Beliau menegaskan, majlis ikrar itu bukan sekadar upacara, sebaliknya janji peribadi setiap pelajar untuk menjunjung integriti, menjaga imej universiti serta berusaha mencapai kecemerlangan dalam kehidupan kampus.

Dr Ahmad Hata turut mengingatkan pelajar mengenai peranan universiti melahirkan graduan yang kompeten, berdaya saing serta mempunyai kesedaran sosial dan mampu menyumbang kepada pembangunan sosio-ekonomi negeri dan negara.

Malah, beliau menekankan kepentingan menjaga keharmonian kaum dan mengamalkan nilai-nilai murni sepanjang pengajian.

Majlis Ikrar ini merupakan kemuncak kepada Minggu Aluan Pelajar (MAP) yang berlangsung sejak 29 September hingga 2 Oktober ini dengan pelbagai pengisian termasuk taklimat akademik, aktiviti suai kenal, sesi motivasi bersama alumni, serta pendedahan kepada kemudahan kampus dan sokongan kebajikan pelajar.-EDISI UKAS