Datuk Rosey Yunus Sempurnakan Agihan Bubur Lambuk & Bakul Rahmah KRT Di Sibuti

Disiarkan pada 03 Apr 2024
Sumber Berita: UKAS

SIBUTI: Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Rosey Yunus telah menyempurnakan program agihan bubur lambuk di pekarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sibuti pada Isnin.

Program anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Sibuti dan Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Sibuti itu bertujuan untuk mengimarahkan bulan Ramadan sekali gus mengukuhkan lagi kerjasama antara dua pertubuhan tersebut.

Sebanyak 400 bungkus bubur lambuk telah diagihkan kepada orang ramai yang berkunjung ke program berkenaan.

Pada sebelah petangnya pula, Datuk Rosey berkesempatan menghadiri Program Jom Berambeh Sungkei yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Bahagian Miri di Kampung Muhibbah Ladang 3, di sini.

Dalam program itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu turut berpeluang menyempurnakan pengagihan sumbangan Bakul Rahmah Kawasan Rukun Tetangga (KRT) kepada penerima yang terdiri daripada golongan asnaf, Orang Kurang Upaya (OKU) termasuk keluarga miskin di kampung tersebut. 

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Subis Norlila Ulis serta Pegawai Perpaduan Bahagian Miri Wilfred Ugap.-Edisi UKAS