BETONG: Sambutan perayaan Hari Gawai di seluruh Sarawak meniupkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama di negeri ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata suasana ini memperlihatkan keindahan masyarakat di Sarawak yang mempunyai 34 kumpulan etnik namun mampu hidup bersama dengan harmoni dan aman damai.
“Semangat ini juga menjadi pegangan pemimpin kita sejak dulu hingga sekarang, sekaligus mewujudkan keharmonian agama dan kaum.
“Maka, marilah setiap kita di sini bersama-sama dari kepimpinan hingga ke akar umbi untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan ini.”
Beliau berkata demikian semasa berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas pada Perarakan Gawai Dayak Peringkat Bahagian Betong 2024 pada Sabtu.
Katanya, penyertaan ramai golongan belia dalam perarakan tersebut menjadi testimoni bahawa semangat keharmonian dan perpaduan dalam perayaan Hari Gawai telah diwariskan kepada generasi baru.
Sebanyak 40 kontinjen melibatkan lebih 3000 orang peserta menyertai perarakan tersebut di mana mereka mengenakan pakaian tradisional etnik-etnik di Sarawak dengan majoritinya etnik Iban serta beberapa kontinjen masyarakat Melayu, Cina dan jemputan dari Sabah iaitu Kadazan Dusun Culture Association (KDCA).
Program ini adalah antara pengisian utama Sambutan Perayaan Gawai Dayak Bahagian Betong Tahun 2024 sepanjang bulan Mei dan Jun 2024.
Pecahan kontinjen adalah 17 pasukan menyertai kategori A iaitu Jabatan Kerajaan/Badan Berkanun/Swasta, 11 pasukan kategori B iaitu Ketua Kaum/Rumah Panjang/Kampung/ NGO/Pekan, enam pasukan kategori C iaitu PIBG/Sekolah-Sekolah Menengah dan enam pasukan menyertai kategori D iaitu PIBG/sekolah-sekolah rendah.
Sementara itu, Pejabat Kesihatan Bahagian Betong muncul johan kategori A, tempat kedua dirangkul Jabatan Pertanian Bahagian Betong dan CENTEXS Betong ketiga.
Kategori B pula dimenangi Gerempung Tuai Rumah N.36 Layar, tempat kedua Dayak Bukit Kelingkang dan Gerempung Bukit Saban ketiga.
Manakala SMK Saribas menjuarai kategori C, diikuti SMK St Augustine tempat kedua dan Kolej Tingkatan 6 Saratok ketiga.
Bagi kategori D pula, johan dirangkul SK St Augustine, SK Spaoh kedua dan SK Abang Abdul Kadir ketiga.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu menyempurnakan upacara penyampaian hadiah yang berlangsung di Dewan Panglima Rentap.
Johan setiap kategori masing-masing membawa pulang wang tunai RM3000, naib johan RM2000 dan tempat ketiga RM1000 beserta sijil dan trofi.
Dalam pada itu, 'Pemenang Keseluruhan' yang dipilih dari kalangan Juara Kategori telah dimenangi SMK Saribas yang membawa pulang piala pusingan dan wang tunai RM10,000.
Terdahulu, Datuk Sebastian menyempurnakan simbolik perasmian dan seterusnya mengetuai acara perarakan dari Kompleks Sukan Betong mengelilingi Pekan Betong menuju ke Dewan Panglima Rentap dengan jarak laluan sejauh 1.8km.
Hadir sama Penasihat Penyelidikan Sains Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu serta isteri Tan Sri Empiang Jabu, Ahli Parlimen Betong Dr Richard Rapu, Pengerusi Sarawak Tourism Board (STB) Dato Dennis Ngau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian Friday Belik, ADUN Kalaka Mohamad Duri serta dif-dif kenamaan yang lain. - EDISI UKAS