KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menyerikan Karnival Baca Perdana dan Pesta Buku Sarawak 2025 yang diadakan di The Hills di sini pada Selasa.
Kehadiran beliau dan isteri telah disambut oleh tetamu kehormat yang turut hadir dalam majlis tersebut.
Hadir menyambut ketibaan, Timbalan Menteri Perpaduan Negara Saraswaty Kandasamy, Pengerusi Lembaga Pengurusan Pustaka Negeri Sarawak Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen, Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri Sarawak Japri Bujang Masli serta dif kenamaan lain.
Sejurus tiba ke majlis perasmian, Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan isteri disambut dengan persembahan 'Selamat Datang' dan turut menyaksikan persembahan Bicara Berirama.
Pada kemuncak majlis, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi telah menyempurnakan simbolik perasmian dan seterusnya turut menyempurnakan pelancaran lapan buah buku baharu pada majlis tersebut.
Beliau bersama isteri turut berkesempatan menyampaikan hadiah kepada pemenang Anugerah Pengiktirafan Pembaca Aktif 2024 serta Anugerah Pemenang Pertandingan Bicara Berirama sebelum bergerak untuk melakukan lawatan ke reruai pameran.
Pesta Buku Sarawak 2025 berobjektifkan untuk menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat terutamanya generasi muda di samping meningkatkan akses kepada bahan bacaan berkualiti dengan harga mampu milik.
Bersempena dengan pesta tersebut, ia juga meraikan penganjuran Karnival Baca Perdana anjuran Perpustakaan Negara Malaysia yang memilih Sarawak sebagai destinasi utama tahun ini terutamanya negeri ini yang menjadi lambang keharmonian masyarakat majmuk yang kaya dengan tradisi kesusasteraan lisan, pendidikan dan kebudayaan.
Tahun ini, Pesta Buku Sarawak 2025 disertai oleh 32 pempamer dari dalam dan luar negara yang berlangsung sejak 27 Spetember lepas dan berakhir pada 5 Oktober kelak.
Sepanjang sembilan hari penganjuran, pelbagai program dan aktiviti menarik telah dirancang termasuk jualan buku besar-besaran oleh Big Bad Wolf, sesi perkongsian ilmu, wacana, bengkel, sesi 'meet and greet' bersama penulis dan aktiviti komuniti untuk seisi keluarga. -EDISI UKAS