KUCHING: Kontinjen Sarawak ke Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) XXII 2025 bertekad untuk mempamerkan prestasi terbaik dengan sasaran pingat emas terutama dalam acara boling tenpin, yang menjadi kekuatan tradisi pasukan negeri ini.
Sarawak menghantar seramai 73 wakil yang terdiri daripada 47 atlet dan 26 pegawai untuk SOPMA kali ini, yang berlangsung di Kuching.
Keseluruhan kejohanan itu melibatkan 777 peserta termasuk 610 atlet dan 167 pegawai daripada semua kontinjen negeri.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah, berkata kontinjen Sarawak mempunyai semangat luar biasa untuk mengekalkan rekod cemerlang dan mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Mereka telah menempuh pelbagai cabaran dan kesukaran, namun semangat kerjasama mereka luar biasa. Dengan kesungguhan ini, saya percaya mereka mampu mencapai sasaran yang ditetapkan, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Bendera kepada Kontinjen Sarawak di Dewan Wisma Wanita, di sini, hari ini.
Menurut Dato Sri Fatimah, selain boling tenpin, kontinjen Sarawak juga menyasarkan pingat emas menerusi acara olahraga, badminton dan orienteering.
“Boling tenpin sentiasa menjadi kekuatan kita. Malah, beberapa atlet SOPMA Sarawak telah dipilih mewakili Malaysia di pentas antarabangsa, termasuk Deaflympics. Ini bukti keupayaan mereka,” katanya.
Beliau turut mengakui cabaran dihadapi kontinjen dari negeri lain untuk datang bertanding ke Sarawak kerana kos perjalanan yang tinggi, namun tetap menghargai penyertaan mereka yang membantu memeriahkan kejohanan tersebut.
“Kita amat bersyukur dengan penyertaan kontinjen luar Sarawak walaupun berdepan cabaran kos penerbangan yang tinggi. Begitu juga atlet kita bila bertanding di luar Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah menegaskan, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha pembangunan sukan orang pekak bagi memastikan mereka terus diberi peluang bersaing di peringkat tertinggi.-EDISI UKAS