Pembangunan Infrastruktur & Pendidikan Fokus Utama Ahli Parlimen Selangau

Posted on 30 Sep 2025
Source of News: UKAS


SELANGAU: Pembangunan infrastruktur asas kekal menjadi fokus utama Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta, bagi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan yang lebih baik.

Beliau berkata, keutamaan itu merangkumi peningkatan jaringan jalan raya, bekalan air bersih, bekalan elektrik yang stabil serta capaian telekomunikasi yang lebih menyeluruh.

“Segala isu ini bukan sahaja saya dengar daripada rakyat, malah saya telah beberapa kali membangkitkannya di Dewan Rakyat supaya tindakan segera dapat diambil,” katanya pada Program Santai Bersama Masyarakat di Rumah Sandom, Nanga Arau, Ulu Mukah, pada Isnin.

Menurut Edwin, sektor pendidikan juga terus diberi perhatian kerana beliau percaya ia kunci penting untuk mengubah nasib dan masa depan anak-anak Selangau.

“Setiap pelajar dari kawasan ini yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) akan menerima bantuan kewangan secara one-off bagi meringankan beban keluarga dan memberi motivasi untuk terus berjaya,” jelasnya.

Beliau menambah, usaha turut dipergiat bagi membuka lebih banyak peluang ekonomi untuk penduduk luar bandar selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak melalui Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, yang mensasarkan pendapatan isi rumah mencecah RM15,000 sebulan.

“Program santai seperti ini penting untuk memberi ruang kepada penduduk menyuarakan pandangan, cadangan dan permasalahan mereka secara terus kepada saya dan pihak berkuasa daerah, selain mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Daerah Selangau, Yalin Asan, menegaskan pentingnya pengurusan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang lebih sistematik dan berkesan.

Beliau menyeru agar JKKK menjadi penghubung yang aktif antara penduduk dengan agensi kerajaan supaya setiap bantuan, pembangunan dan program yang disalurkan dapat dimanfaatkan secara telus dan menyeluruh.

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Masyarakat dan penduduk sekitar Daerah Selangau.-EDISI UKAS