KUCHING: Bintulu bakal menjadi tuan rumah Sambutan Minggu Belia Sarawak 2025 yang akan berlangsung dari 13 hingga 19 Oktober ini, dengan pelbagai program menarik menanti lebih 5,000 pengunjung dari seluruh negeri.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata sambutan tahunan itu diadakan secara bergilir-gilir di seluruh negeri, dan tahun ini giliran Bintulu selepas Kapit dan Mukah pada edisi terdahulu.
“Penganjuran Minggu Belia ini adalah usaha kerajaan untuk mengiktiraf dan memperkasakan golongan belia, selain menyediakan platform untuk mereka mempamerkan bakat dalam bidang sukan, rekreasi, seni serta keusahawanan,” katanya pada sidang media di Kuching, pada Isnin.
Dengan bertemakan ‘Belia Aspirasi Kita’, acara ini turut menekankan peranan belia sebagai harapan negara, agen perubahan dan pendorong pembangunan negeri.
Sepanjang seminggu penganjuran, tiga komponen utama akan dilaksanakan iaitu Youth Champion, Youth Active dan Youth Marketplace yang menampilkan pelbagai aktiviti seperti bengkel tinju bersama Sapok Biki, sesi kesihatan mental, expo belia, larian Youth Fest Run, jualan produk keusahawanan serta pertandingan Youth Got Talent.
Hari kemuncak sambutan akan berlangsung pada 19 Oktober di Dewan Suarah Bintulu, yang dijangka disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Antara pengisian utama ialah Anugerah Belia Sarawak, yang mengiktiraf belia lelaki, wanita serta persatuan belia cemerlang dengan hadiah wang tunai hingga RM10,000.
Selain itu, pentas hiburan bakal dimeriahkan oleh artis tempatan seperti Daniel Leong, Lucy M, Nurul Zahnesha, Alexander Peter, Tuah Jili, JC Pangganiban serta kumpulan jemputan khas One Avenue Band.
“Kerajaan amat menghargai sumbangan dan peranan belia dalam pembangunan negeri dan negara.
"Sambutan ini adalah simbolik komitmen kerajaan untuk terus mendekati serta memperkasa golongan muda,” jelasnya.-EDISI UKAS