Program Taklimat Scammer Didik Masyarakat Kabong Elak Jadi Mangsa

Posted on 29 Sep 2025
Source of News: UKAS


KABONG: Program Taklimat Scammer dan Kaunter Pembukaan Akaun Bank Rakyat yang dianjurkan Persatuan Pesara Kabong (PEKA) menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap ancaman penipuan kewangan yang semakin berleluasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Dato Mohd Chee Kadir menegaskan, usaha sebegini amat relevan bagi memastikan rakyat, khususnya warga emas, lebih peka dan berhati-hati dalam menguruskan urusan kewangan.

“Program sebegini amat relevan kerana ia mendidik masyarakat agar lebih peka dan berhati-hati dalam menguruskan kewangan, sekali gus melindungi diri serta keluarga daripada menjadi mangsa penipuan,” katanya semasa merasmikan program tersebut di sini, pada Isnin.

Program berkenaan menampilkan dua penceramah dari Bank Rakyat Cawangan Sarikei, iaitu Mohamad Aza Nizam Dawi dan Abdul Raziq Zikri Kadir yang memberi penerangan mengenai aspek keselamatan kewangan, teknik penipuan terkini yang digunakan oleh scammer serta langkah pencegahan bagi melindungi diri dan keluarga daripada menjadi mangsa.

Bagi memudahkan masyarakat, sebuah kaunter khas turut dibuka oleh Bank Rakyat pada hari sama untuk urusan pembukaan akaun baharu secara terus.-EDISI UKAS

Foto: Pusat Khidmat ADUN Kabong