SIBUTI: Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dengan kerjasama Sarawak Plantation Berhad menganjurkan Program Kesedaran Alam Sekitar Bersama Komuniti di Rumah Johnson Janggu, Seloi Tengah, Sibuti, Bekenu, Miri pada Sabtu.
Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat setempat mengenai kepentingan memelihara dan memulihara alam sekitar melalui pelbagai aktiviti melibatkan komuniti.
Antara pengisian program ialah aktiviti alam sekitar bersama anak-anak komuniti Rumah Johnson Janggu serta pameran oleh beberapa agensi termasuk Sarawak Plantation Berhad, Majlis Daerah Subis, Jabatan Tanah dan Survei, Jabatan Pertanian Bahagian Miri serta NREB sendiri.
Selain itu, ceramah berkaitan pengenalan kepada NREB, Jabatan Alam Sekitar serta penguatkuasaan terhadap aktiviti pembakaran terbuka turut diadakan.
Penceramah lain turut hadir daripada Majlis Daerah Subis, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dan Lembaga Industri Getah Sarawak.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Hajis Japar Labaw yang mewakili Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr. Ripin Lamat.
Dalam teks ucapannya, beliau menegaskan bahawa pendidikan alam sekitar adalah fokus utama bagi memastikan masyarakat, termasuk generasi muda, memahami kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar.
“Dengan meningkatkan pengetahuan, kita dapat membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap isu alam sekitar dan perubahan iklim serta berusaha mengurangkan kesan negatif demi kelestarian alam sekitar,” katanya.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Bahagian Pendidikan Alam Sekitar Marinni Khir, General Manager Sarawak Plantation Berhad Halim Joseph Upi, Pegawai Tadbir Pejabat Daerah Subis Ananie Sharon Ricky Simpie, Penghulu Mokeng Tambom serta Tuai Rumah Johnson Janggu.-EDISI UKAS