Siaw Lee Ju Juara Pertandingan Cheongsam Terbuka Sempena Mid-Autumn Asajaya

Posted on 29 Sep 2025
Source of News: UKAS


ASAJAYA: Pesona dan keanggunan Siaw Lee Ju berjaya memikat hati juri apabila dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Cheongsam Terbuka sempena Mid-Autumn Festival Asajaya 2025 yang berlangsung di Dewan Serbaguna SJK (C) Chung Hua, Asajaya pada Ahad.

Kemenangan itu melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM800, piala serta sijil.

Tempat kedua pula diraih oleh Irene Wee yang menerima RM600, manakala Alice Ong Hui Ling menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM400 berserta piala dan sijil.

Sesi penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang.

Pertandingan tersebut menjadi tumpuan pengunjung kerana menampilkan keindahan tradisi dan budaya dalam busana Cheongsam yang klasik namun penuh elegan.

Menambahkan lagi suasana meriah, artis lagenda Amir Ukays turut membuat persembahan istimewa dengan mendendangkan lagu-lagu ikonik era 90-an, sekali gus menghadirkan nostalgia buat pengunjung.

Kejayaan penganjuran tahun ini diharap dapat terus menjadikan Mid-Autumn Festival Asajaya sebagai platform penting bagi mempromosikan keharmonian masyarakat, memperkukuh semangat kekitaan serta menonjolkan keunikan budaya tempatan kepada masyarakat luar. -EDISI UKAS