Kuching: Persatuan Perlombongan British Columbia telah menunjukkan minat yang tinggi untuk melabur dan menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Sarawak dalam membangunkan industri perlombongan mineral di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerjasama ini membawa peluang kepada pertukaran kepakaran, teknologi dan pelaburan yang boleh memberi impak positif kepada kedua-dua pihak.
Katanya, ia selaras dengan aspirasi Sarawak untuk mengembangkan industri berkenaan kepada ekonomi cergas berdasarkan prinsip Tata Kelola dan Ekonomi (ESG) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Beliau berkata demikian semasa mengetuai delegasi Sarawak dalam sesi libat urus dan perkongsian bersama Persatuan Perlombongan Kanada di Vancouver, Kanada pada Jumaat.
Sesi libat urus itu turut memberikan pandangan dalam penggubalan dasar, strategi dan hala tuju perlombongan mineral di Sarawak serta rangka kerja perundangan dan institusi yang diperlukan.
Pada masa sama, delegasi Sarawak juga berpeluang mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Vancouver.
Turut hadir Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63, dan Perhubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Syed Aman Ghazali, Peguam Besar Sarawak Datu Saferi Ali, Setiausaha Kewangan Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datu Abdullah Julaihi dan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak, Datu Lester Matthew.-Edisi UKAS