KUCHING: Temasya Borneo Games Kuching (BGK) 2025 melabuhkan tirai dengan penuh gemilang apabila kontinjen Sarawak muncul raja kolam renang, merangkul 21 pingat emas, 22 perak dan 16 gangsa menjadikan keseluruhan 59 pingat, sekali gus meneguhkan dominasi mereka dalam sukan air itu.
Acara akhir renang bermula pada jam 3 petang dengan sembilan pingat emas menjadi rebutan atlet dari pelbagai kontinjen.
Aksi bermula dengan Women’s 400m Freestyle yang menyaksikan wakil Sabah, Xing Ying Chu, mencuri tumpuan selepas meninggalkan atlet harapan Sarawak, Chereen Yirui Ngo pingat perak, manakala gangsa milik Sabah, Laura Yen Nie Lee.
Namun, Sarawak bangkit dalam Men’s 400m Freestyle apabila Puong Wei Hii membuktikan keunggulan dengan emas, dibantu rakan sepasukan Ryan Colby Poh Yuan Kueh yang turut menyumbang perak.
Atlet Kalimantan Timur, Achmad Qemal Lianza, sekadar berpuas hati dengan gangsa.
Sorakan gemuruh penonton bergema dalam acara Women’s 100m Butterfly apabila Sarawak terus unggul melalui Kayleigh Zhi Zuan Ang yang meraih emas, meninggalkan wakil Sabah, Laura Yen Nie Lee (perak), manakala gangsa juga milik Sarawak menerusi Elisha Ern Lee.
Persaingan memuncak dalam Men’s 100m Butterfly apabila perenang Sarawak, Matthias Ming Zhi Liew, menewaskan pencabarnya dari Kalimantan Timur, Rama Vardana Priyandono, dengan catatan masa 57.33 berbanding 57.92.
Rakan senegeri Matthias, Puong Jie Hii, sekadar berpuas hati dengan gangsa.
Brunei turut mencuri tumpuan menerusi Sharmeen Mohammad Mharvin yang meraih dua emas, masing-masing dalam Women’s 100m Backstroke dan Women’s 50m Freestyle.
Manakala perenang muda Sarawak Shanise Jauwa Joseline Adong pula memenangi pingat perak.
Acara kemuncak Men’s 4x200m Freestyle Relay menjadi pentas penutup penuh bergaya buat Sarawak.
Kuartet handalan Puong Jie Hii, Rui Jie Bong, Matthias Ming Zhi Liew, dan Ryan Colby Poh Yuan Kueh membuktikan ketangkasan mereka apabila meninggalkan pesaing dari Brunei (perak) dan Labuan (gangsa), sekali gus memastikan sorakan penutup gemuruh milik tuan rumah.
Secara keseluruhannya, prestasi mantap Sarawak dalam acara renang bukan sahaja menjadi lambang keunggulan mereka di pentas Borneo Games, tetapi juga menutup tirai temasya dengan penuh bergaya menjadikan Sarawak kuasa besar renang yang sukar digugat.-EDISI UKAS