Latihan Kepengakapan Jadi Amalan Hidup

Posted on 28 Sep 2025
Source of News: UKAS


MIRI: Semangat dan latihan dalam persatuan pengakap bukan sekadar aktiviti kokurikulum, tetapi mampu menjadi pegangan hidup yang membentuk keperibadian generasi muda.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, pengalaman yang diperoleh melalui pengakap sejak zaman persekolahannya pada 1970-an masih menjadi panduan hidup sehingga kini.

“Sekalipun dekad telah berlalu, semangat pengakap tidak pernah pudar. Nilai dan kemahiran yang saya pelajari sejak tahun 1970-an masih saya amalkan hingga hari ini.

“Inilah kekuatan pengakap yang membentuk keperibadian dan jati diri dalam masyarakat,” ujarnya.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Pengakap Daerah Miri berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Pengakap Daerah Miri 2025 di Imperial Palace Hotel pada Sabtu.

Majlis itu menghimpunkan lebih 240 tetamu terdiri daripada pemimpin pengakap, ibu bapa, guru pembimbing serta ahli pengakap dari pelbagai sekolah.

Beliau menambah, undang-undang pengakap yang menekankan sikap jujur, setia, berdisiplin, berani serta tolong-menolong perlu dijadikan prinsip hidup oleh golongan muda.

“Undang-undang Pengakap adalah prinsip hidup yang mampu membentuk warganegara berakhlak mulia dan berdaya tahan,” tegasnya.

Pada majlis tersebut, Datuk Gerawat turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM22,000 kepada Majlis Pengakap Daerah Miri bagi tahun 2026 sebagai sokongan kepada aktiviti serta pembangunan prasarana.

Beliau juga menyatakan hasrat untuk membangunkan semula tanah milik Yayasan Pengakap Sarawak di Krokop sebagai kemudahan jangka panjang.

Sebagai pengiktirafan, beliau menerima Anugerah Emas sempena 111 Tahun Pengakap Sarawak atas komitmen terhadap pergerakan kepengakapan.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Sarawak, John Lim Boon Beng, Pesuruhjaya Zon 5, Empari Hong, Pengerusi Penganjur, Caroline Siburat, Pesuruhjaya Pengakap Daerah Miri, Mary Karl, Pegawai Pendidikan Daerah Miri, Mariam Monek serta Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong, Henry Jugah.-EDISI UKAS