KUCHING: Seramai 75 pemain kriket wanita dari Malaysia dan luar negara bakal berentap dalam 3rd Yayasan Sime Darby (YSD) Malaysia Super Women Series 2025.
Kejohanan itu akan berlangsung di Sarawak Cricket Ground, Petra Jaya, bermula 29 September hingga 12 Oktober ini.
Penganjuran kali ketiga kejohanan berprestij itu menyaksikan penglibatan 40 pemain tempatan dan 35 pemain antarabangsa dari rantau Asia, sekali gus menjadikan Kuching sebagai pusat tumpuan kriket wanita serantau.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kejohanan ini bukan sahaja memartabatkan kriket wanita tetapi turut memberi peluang kepada pemain tempatan bersaing dengan bakat antarabangsa.
“Kejohanan ini akan memperkukuh pembangunan kriket wanita di Malaysia, di samping meningkatkan reputasi Sarawak sebagai hab kriket negara,” katanya dalam sidang media pada Ahad.
Turut hadir ialah Presiden Persatuan Kriket Malaysia (MCA), Mahinda Vallipuram yang menekankan komitmen MCA dalam memastikan pembangunan akar umbi, termasuk dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Sarawak melibatkan lebih 2,000 sekolah di seluruh negeri.
Selain kejohanan, siri perlawanan ini juga memberi ruang kepada pemain muda menimba pengalaman berharga sebagai persediaan menghadapi kejohanan antarabangsa termasuk Sukan SEA 2027 yang dijangka menampilkan acara kriket.
Dengan sokongan penuh kerajaan negeri, MCA yakin penganjuran Malaysia Super Women Series di Kuching akan melonjakkan lagi minat terhadap kriket wanita dan menarik lebih ramai penyertaan generasi baharu.-EDISI UKAS