KUCHING: Pasukan badminton Sarawak mencipta kejutan besar di Borneo Games Kuching (BGK) 2025 apabila mendominasi gelanggang dengan meraih lima pingat emas daripada tujuh acara yang dipertandingkan, jauh melepasi jangkaan awal.
Setiausaha Persatuan Badminton Sarawak (SBA), Datuk Wan Khalik Wan Muhammad berkata, pasukan Badminton hanya mensasarkan tiga ke lima emas sahaja memandangkan mendapat cabaran sengit daripada semua kontinjen yang bertanding.
"Kami rasa berbangga dengan pemain Sarawak kerana bermain tanpa rasa gentar walaupun berlawan dengan Sabah, Kalimantan Timur, Brunei Darussalam dan Wilayah Persekutuan Labuan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah bagi hari terakhir acara sukan Badminton di Stadium Perpaduan di sini pada Ahad.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Badminton Sarawak, Ichwansyah Rusli Ali menyifatkan pencapaian kali ini sebagai kejayaan luar jangkaan yang cukup membanggakan.
Menurutnya, tiga pingat emas yang disasarkan pada awalnya berjaya dicapai, malah pasukan turut menambah dua lagi emas menerusi acara beregu lelaki dan perseorangan lelaki.
"Kita hanya sasarkan beregu wanita, beregu wanita dan wanita berpasukan.
"Wanita berpasukan ini juga boleh dikatakan luar jangkaan juga sebab pasukan Sabah kalau diikutkan lebih atas berbanding kualiti pemain Sarawak tapi kita berjaya menang ke atas mereka yang sama sekali menjadi kejutan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ichwansyah akan terus melaksanakan persiapan untuk pasukan Badminton terutamanya untuk kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.
Tambahnya, atlet-atlet yang telah menyertai BGK akan diletak dalam senarai pemain bagi calon untuk mewakili Sarawak pada temasya tersebut. -EDISI UKAS