Pesta Pulau Bruit 2025 Bukti Potensi Ekonomi Tempatan, Jualan Cecah RM200,000

Posted on 28 Sep 2025
Source of News: UKAS


DARO: Pesta Pulau Bruit 2025 sekali lagi membuktikan potensinya sebagai pemangkin ekonomi tempatan apabila jumlah keseluruhan jualan sepanjang lima hari penganjuran mencecah RM200,000.

Angka tersebut menjadi bukti jelas terhadap daya saing tinggi produk tempatan khususnya hasil laut dan pertanian.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol, merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat sambil menegaskan bahawa pesta berkenaan memberi impak besar kepada sosioekonomi masyarakat setempat.

Menurut beliau, penganjuran pesta ini bukan sahaja membuka ruang kepada usahawan kecil dan sederhana memasarkan produk mereka, malah menjadi platform memperkenalkan identiti Pulau Bruit sebagai kawasan yang kaya dengan hasil laut dan pertanian.

Katanya, limpahan ekonomi daripada pesta ini turut dirasai masyarakat apabila peluang pekerjaan sementara diwujudkan, selain menggalakkan interaksi sosial yang lebih erat dalam kalangan komuniti.

Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis penangguhan Pesta Pulau Bruit 2025, pada Ahad.

Turut hadir, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abdul Wahab yang menekankan pelaksanaan Program Budi Madani oleh kerajaan pusat sebagai antara inisiatif penting meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Sepanjang dua hari awal penganjuran, pesta itu telah merekodkan jualan kira-kira RM100,000 hasil daripada 95 buah gerai yang menampilkan pelbagai produk menerusi Gerai Mini Agrofest, Gerai Komuniti Semop, Gerai Usahawan serta Gerai Pasar Tani Daro.

Edisi kali ini juga menghimpunkan semua 14 penempatan di Pulau Bruit dengan pengisian pelbagai acara menarik seperti sukan, kebudayaan, sukaneka dan aktiviti rekreasi, sekali gus memperkukuh perpaduan serta kerjasama masyarakat.

Acara kemuncak penangguhan diserikan dengan penyampaian hadiah pertandingan, cabutan bertuah sebanyak 100 unit serta persembahan kebudayaan yang menutup tirai pesta dengan penuh warna-warni, meninggalkan kenangan manis kepada pengunjung dan penduduk setempat.

Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Daerah Daro, Zul Usup dan Pemanca Daerah Daro, Bujang Razeli. -EDISI UKAS