KUCHING: Sebanyak RM43 juta telah diperuntukkan di bawah program Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) bagi membina jaringan jalan baharu dari Kampung Mentung Mara-u ke Kampung Mayang Kawan dan Pulau Piranuk.
Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Datuk Martin Ben berkata, jalan jenis R1 itu dijangka akan memendekkan masa perjalanan antara kampung-kampung tersebut.
"Dengan ini, ia diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang untuk penerokaan tanah baharu serta aktiviti tanaman komersial," katanya demikian ketika berucap dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Watikah Pelantikan Ketua Kaum serta Sijil AJKKK Kampung Pulau Piranuk pada Sabtu.
Dalam pada itu, Datuk Martin menyeru agar Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) perlu memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dengan penuh komitmen bagi memastikan segala perancangan pembangunan infrastruktur dan kemajuan asas dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.
Tambahnya, kerjasama erat antara pemimpin masyarakat, wakil rakyat dan ketua-ketua jabatan kerajaan adalah sangat penting untuk melancarkan proses permohonan dan pelaksanaan setiap projek pembangunan.
Pada majlis tersebut beliau turut meluluskan peruntukan khas sebanyak RM20,000 kepada JKKK Kampung Pulau Piranuk bagi menyokong pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan kampung. -EDISI UKAS