ASAJAYA: Lebih daripada 5,000 pengunjung membanjiri Dewan SJK (C) Chung Hua Asajaya sempena Mid-Autumn Festival Peringkat Asajaya 2025.
Festival yang berlangsung sejak 24 September itu menarik perhatian bukan sahaja penduduk tempatan, malah pengunjung dari kawasan sekitar seperti Kota Samarahan, Kuching, Sri Aman, Sarikei dan bahkan sejauh Miri.
Kehadiran orang ramai pada Sabtu itu turut diserikan dengan kehadiran Pegawai Daerah Asajaya, Jerry Zannuddin Bidin serta Penolong Pegawai Daerah Hasanah Bujang.
Antara acara yang mencuri tumpuan ialah Pertandingan Memperagakan Pakaian Cheongsam yang menyaksikan penyertaan 19 peserta daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
Peserta paling senior berusia 70 tahun, membuktikan festival ini bukan sahaja meraikan budaya, malah memperkukuh semangat perpaduan.
Dalam pertandingan malam itu, lima peserta membawa pulang hadiah saguhati berupa wang tunai RM200, piala dan sijil, manakala empat lagi menerima wang tunai RM100 beserta sijil sebagai galakan
Lima peserta lain pula akan beraksi dalam pusingan akhir pada malam penutup pada keesokan hari yang bakal dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang.
Lebih mengujakan, festival turut menampilkan persembahan khas oleh Ameng Spring, artis legenda era 80-an yang menghiburkan ribuan penonton dengan lagu-lagu popularnya. -EDISI UKAS