BGK 2025: Cecil Nathanael 'Panah' Tiga Emas Memanah

Posted on 28 Sep 2025
Source of News: UKAS


KUCHING: Atlet muda Recurve Sarawak, CecilNathanael Busu Polycap melakar sejarah gemilang di Borneo Games Kuching (BGK) 2025 apabila merangkul tiga pingat emas dalam acara Recurve sekali gus mengangkat nama Sarawak di pentas serantau.

Dengan ketenangan luar biasa dan fokus yang tidak tergugat, Cecil membuktikan bahawa disiplin serta kerja keras berbulan-bulan latihan akhirnya membuahkan hasil.

"Saya sangat gembira kerana dapat perform dengan baik. Alhamdulillah saya dapat,” katanya ketika ditemui wartawan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pada Ahad.

Di bawah terik mentari di lapang sasar, setiap lepasan anak panah Cecil seakan tidak pernah tersasar, memperlihatkan kelas dan kematangan aksinya.

Beliau menjuarai Recurve Men Individual, Recurve Men Team, dan Recurve Mixed Team, menjadikannya antara pemanah paling menyerlah sepanjang temasya kali ini.

Lebih manis, kejayaan cemerlang itu turut meletakkan beliau dalam senarai Top 5 Medalist Men BGK 2025.

Cecil berharap prestasi ini dapat diteruskan pada kejohanan akan datang demi terus mengharumkan nama Sarawak di persada sukan.

Kecemerlangannya di BGK 2025 diharap mampu meniup inspirasi kepada generasi muda untuk menceburi sukan memanah, sekali gus melahirkan lebih ramai bakat baharu yang berpotensi mengangkat nama Sarawak dan Malaysia ke peringkat dunia. –EDISI UKAS