KUCHING: Aura debaran jelas terasa apabila perenang Sarawak turun dengan misi memburu emas pada hari terakhir acara renang Borneo Games Kuching (BGK) 2025 apabila menurunkan wakil dalam setiap acara heats yang berlangsung seawal jam 8.30 pagi di Pusat Akuatik Pandalela Rinong, pada Ahad.
Acara 400 meter gaya bebas wanita menjadi tumpuan dengan penyertaan dua wakil Sarawak iaitu Chereen Yirui Ngo termasuk bintang muda Magdalene Ing Siee Lau yang sudah pun mencuri perhatian sejak awal kejohanan.
Bagi kategori lelaki, Sarawak mempertaruhkan harapan kepada Puong Wei Hii dan Ryan Colby Pon Yuan Kueh yang dijangka memberikan saingan sengit kepada atlet lain.
Saingan kuak kupu-kupu turut dikuasai apabila Sarawak menampilkan dua wakil masing-masing dalam acara wanita dan lelaki 100 meter.
Rentak penguasaan diteruskan menerusi acara kuak lentang 100 meter dengan kehadiran Shanise Jauwa Anak Joseline Adong dan Liysha Liung Chen Celestine Baru di kategori wanita, manakala Jeff Yu Yang Chua dan Puong Wei Hii pula menjadi taruhan di kategori lelaki.
Sementara itu, acara terakhir heats iaitu 50 meter gaya bebas wanita dan lelaki turut menampilkan dua wakil Sarawak yang cukup hebat.
Segala usaha pagi ini merupakan langkah awal kerana keputusan akhir akan ditentukan pada sesi final bermula jam 3.00 petang nanti.
Ketika semua pingat emas renang bakal dipertaruhkan, Sarawak pastinya mahu menutup tirai BGK 2025 dengan penuh bergaya.-EDISI UKAS