SIMUNJAN: Seramai 51 peserta yang terdiri pelajar Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5 di bawah konstituensi Simunjan telah menyertai Program ‘Canva For Classrooms: Designing The Future’ anjuran bersama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Simunjan dan Pusat Pembangunan Pelajar Kursus MPU Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris telah hadir bagi menyempurnakan majlis penangguhan program tersebut di Dewan Mesra Simunjan.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak UNIMAS kerana telah memilih Daerah Simunjan sebagai lokasi program.
"Syabas diucapkan kepada pelajar-pelajar yang terlibat di mana saya difahamkan bahawa seramai 51 orang peserta dari Simunjan dan 31 orang pelajar daripada UNIMAS terlibat sebagai fasilitator bagi menjayakan program hari ini.
"Program seperti ini sememangnya perlu dilaksanakan terutamanya di kawasan luar bandar kerana pelajar-pelajar di sini kurang mendapat pendedahan awal dengan program seperti ini dan dengan adanya program kesukarelawan seperti ini, pelajar-pelajar di luar bandar mendapat pendedahan awal berkaitan dengan dunia digital yang sangat penting pada masa sekarang," katanya.
Jelasnya, cabaran pendidikan di negara sekarang sangat tinggi yang mana pelajar-pelajar kini terdedah dengan pengetahuan terkini.
Justeru itu katanya, para pelajar hendaklah merebut peluang seperti program seumpama ini untuk memantapkan lagi ilmu dan pengetahuan.
Dalam majlis yang sama, turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi poster dan video terbaik dalam program tersebut.
Hadir sama, Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UNIMAS Profesor Ir. Dr. Al-Khalid Othman, Pengarah Pusat Pembangunan Pelajar UNIMAS Profesor Madya Dr. Faisal Ali Anwarali Khan, Setiausaha Majlis Daerah Simunjan Mohd. Rizal Zakaria dan Pengarah Program ‘Canva For Classrooms: Designing The Future’ Raynold Kabai. -EDISI UKAS