Jelajah RMK-13 Angkat Suara Komuniti Zon Utara

Disiarkan pada 27 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


MIRI: Program Jelajah Jalinan Borneo Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi Zon Utara yang diadakan di Stadium Terbuka Miri pada Sabtu menjadi platform penting bagi kerajaan mendengar suara rakyat dan memperkukuh kefahaman mengenai hala tuju pembangunan negara.

Ia merupakan kesinambungan jelajah Kementerian Ekonomi bersama kerajaan Sarawak bagi berkongsi intipati RMK-13 dengan penjawat awam dan rakyat.

Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata, program ini menjadi wadah penting bagi rakyat menyuarakan pandangan dan cadangan pembangunan secara terus kepada pihak kerajaan.

“Dialog dua hala amat penting kerana ia membantu kerajaan mengenal pasti isu utama yang dihadapi rakyat serta merangka penyelesaian bersama. Input komuniti menjadi landasan penting untuk memastikan pembangunan berpaksikan realiti,” ujarnya.

Beliau menegaskan Sarawak komited mencapai status negeri maju menjelang 2030 melalui Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS 2030), dengan 221 projek dirancang di bawah RMK-13, merangkumi 99 projek persekutuan dan 122 projek negeri.

Antara projek besar di Miri yang telah dilaksanakan di bawah RMK-12 termasuk Projek Tebatan Banjir Sungai Miri, Rural Growth Centre (RGC) Long Lama, pembinaan jalan penghubung Miri–Marudi, Marudi–Mulu (Kuala Melinau).

Selain itu, Long Panai–Long Lama, pendalaman laluan Kuala Baram Delta, serta projek pembesaran Lapangan Terbang Miri yang kini mampu menampung lebih 2.5 juta penumpang setahun.

Sementara itu, Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib, menegaskan RMK-13 yang bertemakan “Melakar Semula Pembangunan” dibangunkan selaras dengan visi Malaysia MADANI dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi memastikan tiada komuniti tercicir dalam arus pembangunan.

“Taburan penduduk di Zon Utara berbeza, dengan Miri dan Bintulu pesat membangun dalam sektor tenaga dan perkhidmatan, manakala kawasan pedalaman masih bergantung kepada pertanian.

“Justeru, pelaksanaan RMK-13 harus praktikal dan benar-benar memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Program ini melibatkan enam kawasan Parlimen dan 10 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bahagian Miri, Limbang dan Bintulu.

Antara objektifnya ialah untuk memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap projek pembangunan, menggalakkan penyertaan aktif komuniti, serta memperkukuh kerjasama strategik pelbagai pihak dalam memastikan pembangunan yang lebih seimbang dan inklusif.-EDISI UKAS