SIMUNJAN: Pasukan Tibak Baok dari Kelab Petrajaya Kuching muncul johan Kejohanan Futsal Terbuka Simunjan 2025 kategori wanita selepas menewaskan pasukan Fuerza FT dari Kuching, manakala pasukan Tidal Bore juga dari Kuching dan pasukan D'Samarahan dari Samarahan masing-masing di tempat ketiga dan keempat.
Kejohanan berlangsung dengan penuh meriah di Arena Seri Nancy, Simunjan sebagai salah satu acara pembukaan Pesta Simunjan 2025.
Ia dianjurkan bagi memeriahkan pesta serta memberi platform kepada pemain tempatan dan luar kawasan untuk menunjukkan bakat dan kemahiran mereka dalam sukan futsal.
Perlawanan akhir itu turut disaksikan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris, dengan Rodiyah menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang.
Kategori wanita telah diadakan hari ini, Sabtu, membabitkan 20 pasukan mewakili pelbagai kelab.
Pertemuan akhir berlangsung penuh dramatik apabila Tibak Baok dan Fuerza FT terikat 0-0 sehingga tamat masa penuh. Perlawanan terpaksa ditentukan melalui sepakan penalti, yang akhirnya memihak kepada Tibak Baok dengan kemenangan 2-0.
Sorakan penyokong yang memenuhi Arena Seri Nancy menggamatkan suasana setiap kali sepakan diambil, menjadikan penentuan tersebut lebih mendebarkan.
Kemenangan itu membolehkan Tibak Baok membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta piala dan pingat, manakala Fuerza FT menerima RM2,000. Pasukan Tidal Bore dari Kuching di tempat ketiga membawa pulang RM1,000 dan pasukan D'Samarahan dari Samarahan di tempat keempat menerima RM500.
Ketua pasukan Tibak Baok, Asrika Amin, meluahkan kegembiraannya selepas kejayaan itu.
“Perlawanan sangat sengit, tetapi kami bersedia sebaik mungkin dan syukur dapat meraih kemenangan. Ia satu pengalaman yang amat bermakna bagi pasukan kami,” katanya ketika ditemui UKAS.
Sementara itu, Ketua Pasukan Fuerza FT, Hasnah Achan, mengakui perlawanan itu mencabar, namun tetap berbangga dengan semangat juang pasukannya.
Penganjuran kejohanan ini dianggap sebagai inisiatif positif yang bukan sahaja memupuk bakat sukan dalam kalangan belia tetapi juga mengeratkan hubungan antara komuniti serta menambahkan kemeriahan Pesta Simunjan 2025.
Acara sukan seperti ini turut boleh menjadi platform untuk atlet tempatan menonjol di peringkat negeri dan negara.
Kategori lelaki U17 dijadualkan berlangsung pada 28 September, manakala kategori lelaki terbuka akan berlangsung dari 3 hingga 5 Oktober.
Penganjuran kejohanan secara keseluruhan diharap dapat menjadi acara tahunan yang dinantikan, menarik pengunjung dari pelbagai kawasan dan terus memeriahkan suasana pesta yang diadakan secara dwi-tahunan itu.
Hadir sama ialah isteri kepada Awla, serta isteri Napsiah Abang Kaderi, Pengerusi Kejohanan Futsal Pesta Simunjan, Kr. Mohammad Zaini Morshidi, Timbalan Ketua PBB Cawangan Simunjan, Bojeng Ali, Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Simunjan, Rosita Poni dan Ketua Pegerakan Pemuda PBB Cawangan Simunjan, Jamil Semon. -EDISI UKAS