1,156 Usahawan Sarawak Terima Manfaat Ekosistem MARA

Disiarkan pada 27 Sep 2025
Sumber Berita: UKAS


KOTA SAMARAHAN: Seramai 1,156 usahawan di Sarawak menerima manfaat terus hasil pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah ekosistem Majlis Amanah Rakyat (MARA)

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, sebanyak RM33 juta diperuntukkan sepanjang tahun 2025 menerusi pembiayaan, latihan dan pelbagai skim keusahawanan.

Tambahnya, Program Transformasi Usahawan MARA 2025 yang berlangsung di Kampung Endap menjadi bukti kesungguhan MARA memperkukuh ekosistem keusahawanan Bumiputera dengan menyediakan latihan, bimbingan, geran padanan, skim pembiayaan serta kemudahan premis perniagaan.

“Program ini bukan sahaja medan meningkatkan kemahiran, malah seiring dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh ekonomi luar bandar dan mendekatkan MARA kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian program tersebut pada Sabtu.

Datuk Rubiah menambah, antara kemudahan yang ditawarkan termasuk Skim Pembiayaan Perniagaan Mudah Jaya (SpiM), DanaNITA, Skim Usahawan Profesional, Skim OKU, PUTEK, SEMAi, PUTRA dan SpiKE, selain penyediaan ruang niaga yang telah mewujudkan lebih 1,045 peluang pekerjaan serta penjanaan jualan bernilai RM53.4 juta di Sarawak.

Sepanjang dua hari penganjuran, pelbagai aktiviti diadakan termasuk kursus kemahiran gunting rambut, pembuatan pastri dan jahitan yang dikendalikan GIATMARA Sarawak pada hari pertama.

Hari kedua pula menyaksikan sesi perkongsian ilmu melibatkan prosedur pendaftaran perniagaan, kemudahan keusahawanan RISDA, aplikasi teknologi digital dalam perniagaan serta motivasi usahawan pada hari kedua.

Seramai 200 peserta, terdiri daripada penduduk Kampung Endap hadir memanfaatkan peluang yang disediakan. -EDISI UKAS