ASAJAYA: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) MARA komited untuk merapatkan jurang pendidikan di kawasan luar bandar.
Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang, berkata Program Jelajah Ilmu dan Motivasi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 merupakan usaha bersepadu untuk mengurangkan jurang pencapaian pelajar bandar dan luar bandar yang berdepan cabaran logistik, akses sumber pembelajaran dan persekitaran yang berbeza.
“Kerajaan melalui KKDW dan MARA akan terus bekerjasama untuk memastikan anak-anak luar bandar tidak tercicir daripada peluang pendidikan, seiring matlamat melahirkan modal insan seimbang dari segi akademik, kemahiran dan kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Program Jelajah Ilmu dan Motivasi SPM 2025, di sini, pada Sabtu.
Menurut Ahli Parlimen Kota Samarahan itu, pelaburan pendidikan merupakan pelaburan masa depan negara dan MARA untuk terus memperkasa akses pendidikan bumiputera melalui Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), kolej, universiti serta program biasiswa dan latihan teknikal.
Sementara itu, pihak MARA menjelaskan program kali ini bertujuan meningkatkan prestasi akademik pelajar secara holistik melalui pendedahan teknik pembelajaran berkesan, pemantapan penguasaan subjek Sejarah, Matematik, Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, serta pendekatan strategik menjawab soalan peperiksaan mengikut format semasa.
Ia turut menyediakan platform bimbingan untuk mengenal potensi diri, membina keyakinan, mengurus tekanan akademik dan memupuk nilai disiplin serta ketekunan.
Program ini disertai 303 peserta yang terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Muara Tuang, SMK Asajaya, SMK Sungai Tapang, SMK Hajah Laila Taib, SMK Wira Perisien, guru sekolah sekitar dan tenaga pakar MRSM.
Majlis turut menyaksikan penyerahan bantuan pendidikan Yayasan Pelajaran MARA kepada 100 pelajar terpilih sebagai sokongan persediaan menghadapi SPM 2025.
Turut hadir, Pengarah MARA Sarawak, A. Razu Ab Razak, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Menengah MARA Dr Zulkifli Hussain @ Mat Hassan dan Pegawai Daerah Asajaya Jerry Zannuddin Bidin. -EDISI UKAS