KUCHING: Karnival Inovatif Pendidikan 2025 dan Program Jalinan Pintar Korporat Kumpulan SRSW2 NPQEL 2025 yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pajar Sejingkat pada Sabty menjadi wadah penting memberi manfaat ilmu serta mengeratkan hubungan antara sekolah, ibu bapa dan komuniti.
Guru Besar SK Pajar Sejingkat, Mohd Helmi Isa berkata, pemilihan sekolah tersebut sebagai rakan strategik Kumpulan SRSW2 NPQEL merupakan satu penghargaan yang menyuntik semangat baharu kepada warga sekolah.
“Dengan tema Pemangkin Masyarakat MADANI, penganjuran ini membantu memperkukuh budaya inovasi dan kreativiti dalam kalangan guru serta murid. Saya merakamkan penghargaan kepada Kumpulan SRSW2 NPQEL atas kerjasama yang diberikan,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan.
Pelbagai pengisian menarik telah dijalankan sepanjang karnival termasuk Pameran STEM, Ceramah Pembelajaran Digital, Sudut “Kami Benci Buli” serta Pameran Pendidikan Khas.
Turut hadir ialah Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Pajar Sejingkat, Rudysufian Mahli, Pensyarah Institut Aminuddin Baki Cawangan Sarawak Minhad Mohtah dan Pengerusi Program NPQEL 2025 Rizuan Mohd.-EDISI UKAS